fb fb fb fb fb

KKM terima peruntukan sebanyak RM45.3 bilion

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Kementerian Kesihatan (KKM) menerima peruntukan kedua tertinggi pada Belanjawan 2025 iaitu RM45.3 bilion berbanding RM41.2 bilion pada belanjawan sebelum ini.

Peruntukan berkenaan untuk menjalankan tugas-tugas asas termasuk memastikan kemudahan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti, selesa dan mesra rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM1.35 bilion disediakan bagi menyelenggara prasarana kesihatan termasuk membaiki tandas hospital yang uzur dan wad-wad pesakit yang usang.

"Kerajaan juga terus menaik taraf klinik-klinik daif seluruh negara. Bawah Kerajaan MADANI, peruntukan bagi maksud ini ditingkatkan setiap tahun iaitu RM100 juta (2023), RM150 juta (2024) dan RM300 juta untuk tahun hadapan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen.

Sementara itu, bagi menyokong gerakan War on Sugar, beliau berkata kerajaan bercadang menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari 2025 sebanyak 40 sen seliter.

"Tambahan hasil yang diraih akan dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan kesihatan awam antaranya meliputi penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibators bagi kegunaan rawatan diabetes.

"Penyediaan rawatan Dialisis Peritoneal untuk pesakit buah pinggang tahap akhir kepada lebih banyak pesakit selain FELDA yang turut menambah baik pusat dialisis mereka," katanya.

Sementara itu Perdana Menteri turut memaklumkan berkenaan peruntukan sebanyak RM27 juta sebagai menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat.

Perkara itu bagi merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah rakyat termasuk penganjuran Hari Sukan Negara.

Berkenaan sistem dan struktur perkhidmatan kesihatan awam, ia akan diperkasa supaya lebih berdaya tahan, mampan dan mandiri.

"Ikhtiar Rakan KKM akan diperkenalkan melibatkan kerjasama GLIC bagi menyediakan pilihan perkhidmatan kesihatan berbayar pada kadar berpatutan kepada pesakit.

"Pelaksanaan ini akan bermula di lima hospital KKM yang mempunyai permintaan tinggi serta infrastruktur sesuai seperti Hospital Cyberjaya dengan peruntukan awal RM25 juta," katanya.

Dalam pada itu kerajaan juga meningkatkan jalinan kerjasama dengan 91 hospital swasta bagi menyumber luar pesakit KKM melibatkan perkhidmatan seperti kardiologi, radiologi dan nefrologi.

Pendekatan itu dilihat mewujudkan elemen persaingan mendapatkan harga terbaik buat kerajaan.

"Penyumberluaran akan diteruskan melibatkan Institut Jantung Negara (IJN) bagi pesakit jantung dari kalangan pesara Kerajaan yang berumur 65 tahun dan ke atas.

"Kerajaan akan melaksanakan dasar offtake atau perolehan khusus daripada syarikat yang membuat pelaburan domestik baharu untuk mengeluarkan produk farmaseutikal dan peranti perubatan kritikal," katanya.

Pendekatan itu akan menyokong keterjaminan bekalan ubat dari sumber tempatan, malah berupaya mengurangkan kos dalam jangka masa sederhana. Pada masa sama kerajaan juga akan menggalakkan pelaburan untuk mewujudkan pengeluaran vaksin halal.

Kerajaan turut menyediakan peruntukan RM100 juta termasuk untuk perolehan peralatan terkini bagi mengukuhkan pusat-pusat kecemerlangan yang telah dikenal pasti.

"Di samping pusat kecemerlangan sedia ada, kerajaan juga sedang melaksanakan kerja-kerja awalan bagi menubuhkan Pusat Kanser di Kuching dan Hospital Pakar Jantung di Kota Kinabalu," katanya.

Selain itu pakar-pakar kesihatan terbaik negara yang berkhidmat di hospital Kerajaan termasuk di Pusat-pusat Kecemerlangan seperti Hospital Serdang untuk rawatan Jantung; Hospital Selayang untuk Transplant & Hepatobiliari; Institut Kanser Negara, Putrajaya; Institut Endokrin Putrajaya; Institut Urologi dan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Kuala Lumpur perlu diiktiraf.

Dalam hal berkaitan, sebuah Tabung Penyakit Jarang Jumpa akan ditubuhkan tahun depan.

"Peruntukan bagi menampung kos perubatan penyakit jarang jumpa ditingkatkan kepada RM25 juta. Skim mySalam juga diperluas untuk turut meliputi penyakit jarang jumpa dan Rheumatoid Arthritis.

"Sumbangan ke dalam Tabung Penyakit Jarang Jumpa juga layak mendapat potongan cukai bersamaan jumlah sumbangan sebenar," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI