fb fb fb fb fb

KKM terbuka terima pandangan, tambah baik sistem kesihatan negara

KUALA LUMPUR, 25 September- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa isu kesihatan mental membabitkan petugas kesihatan dalam perkhidmatan awam sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa mengakui bahawa isu itu sememangnya wujud dalam kalangan petugas kesihatan dan terbuka menerima sebarang pandangan termasuk daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Tambahnya, setiap pandangan yang dikemukakan akan diteliti dalam usaha menambah baik sistem kesihatan negara.

"Kita tahu isu ini pun antara kesan daripada rentetan pandemik COVID-19. Sejak dulu lagi sebenarnya isu kesihatan mental ini berlaku melibatkan petugas kesihatan.

Namun, kita ada unit khas yang berfungsi sebagai platform kaunseling sekiranya ada di antara mereka yang mengalami permasalahan. Kita terbuka menerima pandangan mungkin daripada MMA atau sesiapa sahaja untuk kita beri penambahbaikan kepada sistem kesihatan kita," kata Dr. Zaliha dalam sidang media pada Majlis Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sementara itu, berhubung Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan 13 Oktober ini, Dr Zaliha memaklumkan, KKM berharap akan mendapat peruntukan lebih tinggi, berbanding RM36.3 bilion yang diterima pada tahun lalu.


(Menteri KKM, Dr. Zaliha Mustafa ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Projek
Kompleks Dewan Bedah, 
Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Wad Tambahan HKL)

Media Baharu