KUALA LUMPUR, 10 Mac- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyokong penuh langkah Kementerian Pendidikan (KPM) melarang penjualan gula-gula berbentuk peranti vape dan rokok di kawasan sekolah.
Beliau berkata, keputusan itu sejajar dengan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober tahun lalu.
"Bawah Seksyen 8 Akta 852, penjualan produk tiruan adalah dilarang. Manakala Seksyen 11 memperuntukkan larangan menjual apa-apa produk yang menyerupai rokok dan vape, terutama jika ia boleh mendorong golongan bawah umur untuk membelinya," jelas Dr Dzulkefly.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Pembantu Perubatan ke-14 Peringkat Kebangsaan 2025 di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly memaklumkan, KKM kini dalam peringkat akhir merangka kertas cadangan bagi pemberian autonomi tambahan kepada Cawangan Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan (C4P).
Ia dijadual dibentangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam pada Mei depan.
Langkah itu bagi memperkukuh hala tuju strategik serta memperkasakan lagi peranan profesion Penolong Pegawai Perubatan.
Turut dirangka, RUU baharu bagi menggantikan Akta Pembantu Perubatan (Pendaftaran) 1977 [Akta 180].