fb fb fb fb fb

KKM setuju tubuh Majlis Autisme Nasional

KUALA LUMPUR, 16 Julai- Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju menubuhkan Majlis Autisme Nasional bagi membangun intervensi dan sokongan bersepadu serta menyeluruh kepada individu autisme.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata penubuhan majlis itu bertujuan membangunkan strategi intervensi bersepadu bagi individu yang berada dalam spektrum autisme yang merangkumi latihan kepada ibu bapa, pendaftaran nasional dan landasan maklumat yang mempunyai kaitan dengan autisme daripada peringkat kanak-kanak sehingga dewasa.

Majlis Autisme Nasional akan membabitkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta kementerian lain yang berkaitan.

Beliau berkata KKM akan menyediakan kertas Kabinet mengenai penubuhan majlis itu dan akan membentangkannya kepada Kabinet dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang.

"Majlis ini bukan hanya memperlihatkan sokongan yang kita beri kepada ibu bapa atau individu autisme di peringkat kanak-kanak tetapi juga intervensi sokongan yang kita dapat beri kepada mereka apabila mereka menjadi dewasa dan ingin menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Bengkel Transformasi Strategi dan Memperkasa Penjagaan Autisme di sini, semalam.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin merasmikan penutupan Bengkel Transformasi
Strategi dan Memperkasa Penjagaan Autisme, semalam / FOTO TWITTER Khairykj

Beliau berkata menerusi majlis itu, beliau berharap untuk membangunkan Pendaftaran Klinikal Autisme Kebangsaan sebagai pangkalan data kes autisme di negara ini.

Mengenai bengkel berkenaan, Khairy berkata perkara yang dibangkitan termasuk perlindungan insurans kepada individu autisme akan diteliti oleh Majlis Autisme Nasional itu kelak dan Bank Negara sebagai badan kawal selia industri insurans di negara ini boleh jemput untuk memberi pandangan.

Media Baharu