
KUALA LUMPUR, 18 Februari – Orang ramai diseru agar lebih peka terhadap gejala penyakit Tuberkulosis (Tibi), menghentikan stigma terhadap pesakit serta mendapatkan rawatan segera bagi mengekang penularan penyakit itu dalam komuniti.
- Berhati-hati dengan gejala tibi: batuk lebih dua minggu, demam malam dan penurunan berat badan; buat pemeriksaan segera di klinik.
- Hentikan stigma terhadap pesakit; sokongan emosi keluarga dan komuniti penting untuk melengkapkan rawatan.
- KKM perkuat pengesanan aktif dan kerjasama agensi menerusi pendekatan menyeluruh untuk menamatkan endemik tibi.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata walaupun terdapat persepsi yang mengaitkan penularan tibi dengan kemasukan warga asing, data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan 85 peratus kes dilaporkan melibatkan rakyat tempatan, manakala hanya 15 peratus membabitkan warga asing.
Menurut beliau, situasi itu membuktikan risiko jangkitan dalam komuniti tempatan adalah nyata dan tidak boleh dipandang ringan.
“Tibi bukan sekadar isu klinikal, malah berkait rapat dengan faktor sosioekonomi seperti kesesakan penempatan dan kekurangan zat makanan. Namun penyakit ini boleh dicegah, dirawat dan sembuh sepenuhnya jika dikesan awal serta pesakit mematuhi rawatan antibiotik sekurang-kurangnya enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menasihatkan individu yang mengalami batuk melebihi dua minggu, demam atau berpeluh pada waktu malam serta penurunan berat badan supaya segera menjalani pemeriksaan di klinik.
Dalam pada itu, masyarakat diingatkan supaya tidak meminggirkan pesakit Tibi kerana sokongan emosi keluarga dan komuniti amat penting bagi memastikan mereka melengkapkan rawatan.
KKM komited memperkukuh strategi pengesanan aktif dan bekerjasama dengan pelbagai agensi menerusi pendekatan menyeluruh kerajaan bagi menamatkan endemik Tibi di negara ini.