
SIBU, 4 April – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan untuk mengisi kira-kira 15,000 kekosongan jawatan jururawat dalam sistem kesihatan awam sepanjang tahun ini.
- Kekurangan jururawat bertauliah disebabkan penuaan populasi, peningkatan penyakit tidak berjangkit dan pengembangan fasiliti kesihatan.
- Pelancaran Program Diploma Kejururawatan di MPI dan kerjasama dengan pusat perubatan sediakan penajaan, elaun serta jaminan pekerjaan.
- Kejururawatan satu panggilan memerlukan komitmen tinggi, disiplin dan belas ihsan, semua pihak digesa kukuhkan kerjasama demi akses kesihatan berkualiti.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, negara kini berdepan kekurangan ketara jururawat bertauliah susulan peningkatan permintaan dalam sektor kesihatan.
Menurut beliau, antara faktor utama termasuk penuaan populasi, peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan penyakit jantung, serta perkembangan pesat fasiliti kesihatan awam dan swasta.
“Peranan jururawat melangkaui tugas klinikal dan pemberian ubat-ubatan semata-mata, sebaliknya mereka menjadi penghubung antara pesakit dengan sokongan emosi ketika saat sukar.
“Dengan sifat belas ihsan, kepekaan dan ketelitian, jururawat mampu mengubah suasana rawatan menjadi lebih selesa dan menenangkan. Justeru, Malaysia memerlukan lebih ramai jururawat bertauliah dalam sistem kesihatan ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Program Diploma Kejururawatan di Institut Methodist Pilley (MPI), di sini.
Tambah beliau, penubuhan program diploma itu selaras dengan keutamaan negara dalam memperkukuh modal insan sektor kesihatan, di samping memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan kekal sebagai hak asas rakyat.
Dalam majlis sama, MPI turut memeterai kerjasama strategik bersama Rejang Medical Center dan Borneo Medical Center bagi menyediakan peluang penajaan, elaun serta jaminan pekerjaan kepada pelajar kejururawatan.
Inisiatif tersebut dijangka dapat memperluas akses pendidikan kepada golongan muda, khususnya di Sarawak, selain menyokong pembangunan tenaga kerja kesihatan di peringkat negeri dan nasional.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bidang kejururawatan bukan sekadar kerjaya, sebaliknya satu panggilan yang menuntut komitmen tinggi, disiplin serta sifat belas ihsan.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak termasuk institusi pendidikan dan penyedia perkhidmatan kesihatan untuk terus memperkukuh kerjasama bagi memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti dapat dinikmati seluruh rakyat, termasuk di kawasan luar bandar.