KKM peruntuk RM137 juta tangani penyakit tidak berjangkit

KKM suntik RM137 juta tangani lonjakan NCD, fokus saringan awal dan akses ubat moden

KUALA LUMPUR, 23 Februari – Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan lebih RM137 juta tahun ini bagi memperkukuh langkah pencegahan awal penyakit tidak berjangkit (NCD).

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RM10 juta untuk Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan memperluas saringan awal faktor risiko NCD bagi dewasa.
  • RM80 juta disediakan untuk Program PeKa B40 menawarkan saringan kesihatan percuma kepada golongan berpendapatan rendah.
  • RM1.7 juta diperuntukkan untuk Inisiatif War on Sugar memperluas advokasi pemakanan sihat di 74 kawasan Parlimen dan sekolah.
  • RM45.4 juta untuk memperluas akses kepada ubat SGLT2i bagi mengurangkan komplikasi diabetes dan beban hospital.

Langkah itu diambil susulan peningkatan komplikasi diabetes dan penyakit jantung yang memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan itu merangkumi beberapa inisiatif utama.

Peruntukan termasuk RM10 juta bagi Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) untuk memperluas saringan awal faktor risiko NCD kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas.

“Sebanyak RM80 juta diperuntukkan bagi Program PeKa B40 yang menyediakan saringan kesihatan percuma kepada golongan berpendapatan rendah, manakala RM1.7 juta bagi Inisiatif War on Sugar untuk memperluas kempen advokasi pemakanan sihat ke 74 kawasan Parlimen serta memperkukuh pelaksanaannya di sekolah-sekolah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin mengenai tahap kesiapsiagaan hospital kerajaan menghadapi peningkatan NCD seperti diabetes dan penyakit jantung serta peruntukan khusus bagi pencegahan awal.

Dr Dzulkefly berkata selain itu, sebanyak RM45.4 juta diperuntukkan bagi memperluas akses kepada ubat SGLT2 inhibitors (SGLT2i) untuk rawatan diabetes.

Katanya, langkah itu bagi mengurangkan risiko komplikasi termasuk penyakit buah pinggang kronik dan kegagalan jantung, sekali gus menurunkan kadar kemasukan ke hospital serta kos rawatan jangka panjang.