PUTRAJAYA, 13 April - Kementerian Kesihatan (KKM) mempertingkatkan prosedur operasi standard (SOP) kawalan keselamatan di semua hospital bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengulas dakwaan berhubung insiden bayi kembar yang kononnya dilarikan oleh individu menyamar sebagai doktor, beliau menegaskan bahawa KKM tidak berkompromi dalam aspek keselamatan dan memandang serius perkara tersebut.
“Kita akan terus mempertingkatkan SOP dan kawalan keselamatan. Kita tidak ambil ringan isu ini dan ia merupakan isyarat penting untuk kita terus memperbaiki keberkesanan sistem kawalan dan penyeliaan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Aktiviti Fizikal Sedunia (WOPAD) sempena inisiatif Hari Tanpa Kenderaan Putrajaya, di sini.
Turut sama menyempurnakan majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Binti Mustafa.
Sementara itu, Dr Dzulkefly memaklumkan seorang mangsa tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights yang masih mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta dilaporkan menunjukkan perkembangan positif.
Setakat semalam seramai 30 mangsa masih mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan swasta. Daripada jumlah itu, 13 orang mangsa mendapat rawatan di wad biasa hospital kerajaan, manakala selebihnya 17 mangsa lagi dirawat di hospital swasta.
"Hingga pukul 3.00 petang CPRC (Crisis Preparedness and Response Centre) jumlah mangsa yang dirawat di hospital dan klinik-klinik kami sekarang ini pada jumlah dari 150 dengan 30 dirawat di hospital dan 10 dibenarkan keluar. Kes itu saya jumpa sendiri saya jumpa dengan mangsa dan saya mendapat laporan bahawa keadaan dia bertambah baik, jadi kita doakan dia," kata Dr Dzulkefly.