fb fb fb fb fb

KKM perhalusi penjualan produk merokok termasuk menerusi mesin layan diri

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi peraturan larangan berkaitan penjualan semua produk merokok termasuk menerusi kaedah mesin layan diri (vending machine) / Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 12 Julai - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi peraturan larangan berkaitan penjualan semua produk merokok termasuk menerusi kaedah mesin layan diri (vending machine).

KKM memaklumkan peraturan berkaitan larangan penjualan produk merokok itu akan dikuatkuasakan bersama Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), setelah diluluskan kelak.

"KKM turut memandang serius isu berkaitan aduan penjualan rokok elektronik atau vape menerusi mesin layan diri sebagaimana tular di Aplikasi X pada Rabu lepas.

"Larangan penjualan rokok elektronik melalui mesin layan diri ini juga kesinambungan daripada larangan penjualan hasil tembakau seperti rokok, cerut dan tembakau lerai melalui mesin layan diri di bawah peraturan sedia ada iaitu Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 281),” kata KKM menerusi kenyataan.

Menurut kenyataan itu, susulan penularan isu penjualan vape menerusi mesin layan diri, pihak KKM telah turun dan bertemu dengan pihak pengurusan pusat beli-belah terlibat bagi menerangkan tentang larangan penjualan menerusi mesin layan diri tersebut.

“Pihak KKM turut menyarankan agar pihak pengurusan menutup operasi mesin layan diri tersebut serta merta sebagai tanggungjawab sosial dan mereka bersetuju serta akur dengan saranan tersebut,” kata KKM.

Sebagai persediaan ke arah penguatkuasaan Akta 852 bersama peraturan dan perintah di bawahnya, KKM telah mengadakan Siri Taklimat Penguatkuasaan Akta 852 kepada semua pegawai penguat kuasa KKM dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bermula 9 Jun lepas.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN