IPOH, 6 Februari - Sejumlah RM1.2 juta diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi perolehan katil baharu di Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata tambahan peruntukan itu membabitkan sejumlah 250 set katil.
Kompleks baharu bernilai RM237 juta itu akan menempatkan sebanyak 404 katil serta dilengkapi 304 lot parkir.
"Tambahan katil ini kerana kita kekurangan katil itu pemberian yang saya buat 250 katil untuk menggantikan katil-katil yang agak uzur. Jadi itu adalah penambahan RM1.2 juta yang saya berikan kelulusan pada hari ini," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan projek menaik taraf Hospital Kuala Kangsar yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2023, Dzulkefly berkata perkara tersebut kini dalam proses tender.