fb fb fb fb fb

KKM ambil maklumat berhubung STSS sebagai persediaan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA, 20 Jun - Kementerian Kesihatan (KKM) akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai Sindrom Kejutan Toksik Streptokokus (STSS) yang melanda negara Jepun ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan negara dapat mengambil persediaan sewajarnya berhubung perkara itu.

"Kita belum mendapat apa-apa maklumat atau perkembangan dan kita memerlukan input daripada WHO kerana ia sangat mustahak, jadi dengan segera kita mendapat perkembangan dan kita akan seterusnya mengambil langkah kawalan," kata Dzulkefly.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan myBRP@CKAPS, di sini.

Tambahnya, setakat ini tiada kes membabitkan jangkitan STSS dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) KKM.

Terdahulu, media melaporkan Jepun merekodkan peningkatan ketara kes jangkitan bakteria pemakan daging berkenaan.

Berdasarkan data Institut Penyakit Berjangkit Nasional (NIID) lebih 1,000 kes STSS dilaporkan berlaku di negara itu sejak awal tahun ini.

TETITIA YUSOFF