fb fb fb fb fb

KKM aktifkan lapan pasukan perubatan pelbagai hospital Lembah Klang

Keadaan rumah musnah akibat kebakaran saluran paip gas di Taman Putra Harmoni, Putra Heights/ Reuters

KUALA LUMPUR, 1 April- Kementerian Kesihatan (KKM) mengaktifkan lapan pasukan perubatan meliputi pelbagai hospital di sekitar Lembah Klang bagi merawat mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Taman Putra Harmoni, Putra Heights pagi tadi.

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan dua daripada pasukan berkenaan diketuai Pakar Perubatan Kecemasan yang terdiri daripada lima kakitangan dari pelbagai hospital.

"Setakat jam 6.00 petang, seramai 100 mengsa telah menerima rawatan di hospital-hospital sekitar Lembah Klang iaitu 12 orang tag merah, 50 tag kuning dan 38 tag hijau.

"Pecahan mangsa yang menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) ialah Hospital Putrajaya (14), Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang (28) Hospital Cyberjaya (25), Hospital Ampang (1), dan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN), Kajang (2).

"Manakala Subang Jaya Medical Centre menerima 22 kes, Hospital Thomson 1 kes, Avisena Specialist Hospital 5 kes, dan Columbia Asia Hospital, Bukit Rimau 2 kes," menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu keadaan di sebahagian besar hospital kerajaan di Lembah Klang yang terlibat masih dalam keadaan terkawal dan mampu menampung kemasukan kes sama ada pesakit yang datang menaiki ambulans atau secara walk-in.

Dalam pada itu KKM mengucapkan penghargaan kepada semua pihak khususnya pasukan penyelamat dan kecemasan yang memberikan bantuan dan bertungkus lumus dalam menangani insiden itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI