fb fb fb fb fb

KKM akan dapatkan penjelasan AstraZeneca

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

HULU SELANGOR, 2 Mei- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meminta pengeluar vaksin COVID-19, firma farmaseutikal AstraZeneca memberi penjelasan terperinci berkenaan kesan sampingan akibat penerimaan suntikan tersebut yang dilaporkan media antarabangsa boleh menyebabkan sindrom Thrombosis with Thrombocytopenia Syndrome (TTS).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, syarikat pengeluar itu perlu bersikap telus ketika menjelaskan perkara berkenaan termasuk penerimanya di seluruh dunia.

"Kita tidak ada masalah, kita boleh minta AstraZeneca untuk membuat penjelasan. Saya lebih mahu tahu perkara ini secara telus kepada semua rakyat dan kepada media.

"Mereka mesti bertanggungjawab kita mesti bertangungjawab, tiada apa yang mahu disembuyikan syarikat vaksin yang mesti beri penerangan dan pencerahan kepada negara kita dan global," katanya kepada pemberita dalam program saringan kesihatan bersama dengan masyarakat di Dewan orang Ramai Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak, di sini.

Bagaimanapun beliau menggesa agar semua pihak tidak membuat andaian berhubung kenyataan yang dibuat syarikat farmaseutikal itu.

Sebelum ini AstraZeneca dilaporkan mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin COVID-19 mereka boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Gergasi farmaseutikal itu dilapor menghadapi saman atas dakwaan vaksin yang dibangunkan bersama Universiti Oxford boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.

Sindrom TTS menyebabkan pembekuan darah di otak atau bahagian lain badan selain menyebabkan gangguan terhadap julat normal platlet darah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI