KKDW capai ribuan projek luar bandar, kadar kemiskinan tegar menurun – TPM Zahid

Foto BERNAMA

KUALA NERUS, 8 Februari– Pelaksanaan dasar pembangunan luar bandar kini memberi penekanan kepada keberhasilan sebenar, selaras hala tuju baharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

RINGKASAN BERITA AI
  • KKDW utamakan keberhasilan sebenar dengan pemukiman strategik dan semakan pertengahan penggal.
  • Pelaksanaan konsep "quick win" dan "game changer" tingkatkan budaya kerja serta kerjasama rentas agensi.
  • Ribuan projek akses luar bandar disiapkan sejak 2023 dan perbelanjaan hampir menyeluruh.
  • Penurunan kemiskinan tegar kepada 0.09 persen dan TVET graduan kebolehpasaran melebihi 98 persen.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata dasar pembangunan desa tidak lagi bersifat statik, sebaliknya diperkukuh menerusi pemukiman strategik serta semakan pertengahan penggal bagi menilai jurang antara perancangan dan pelaksanaan.

Tambah beliau, pendekatan itu turut membawa perubahan budaya kerja kementerian secara berperingkat melalui pengenalan konsep “quick win” dan “game changer”, selain memperkukuh kerjasama rentas fungsi serta antara agensi.

“Kita tidak boleh terus berada dalam zon selesa atau terperangkap dengan kerja rutin. Sebaliknya, kita perlu melaksanakan perubahan yang saya sifatkan sebagai game changer dan quick wins, termasuk perubahan yang lebih drastik serta disesuaikan dengan keperluan kumpulan sasaran.”

“Pendekatan ini juga dilaksanakan tanpa menggunakan khidmat perunding luar negara,” kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid kepada pemberita pada program Permukiman KKDW 2026, di sini.

Hasil pelaksanaan berkenaan, KKDW mencatat prestasi perbelanjaan hampir menyeluruh, menyiapkan ribuan projek akses luar bandar sejak 2023, selain meraih tempat kedua Anugerah Penilaian Outcome Kementerian Berprestasi Tinggi.

Sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12), pencapaian turut menunjukkan penurunan kadar kemiskinan tegar kepada 0.09 peratus, pengurangan kemiskinan luar bandar serta kebolehpasaran graduan TVET melebihi 98 peratus.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memperkenalkan kerangka pembangunan desa 5P merangkumi People, Place, Productivity, Prosperity dan Prophetic sebagai hala tuju baharu kementerian.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan lebih RM200 juta Bantuan Wang Ihsan telah diagihkan kepada ketua isi rumah yang terjejas banjir sepanjang tahun lalu, dengan 97 peratus daripadanya telah selesai disalurkan.

Baki agihan dijangka diselesaikan dalam tempoh terdekat selepas proses pengemaskinian dokumen di peringkat daerah dimuktamadkan.

Menurut beliau, beberapa penambahbaikan mekanisme pembayaran turut dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi mempercepat proses agihan bantuan.