ALOR SETAR, 29 Mac- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berhasrat untuk menarik lebih ramai lagi masyarakat terlibat dalam ekonomi digital melalui platform Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang berpotensi memajukan ekonomi rakyat terutamanya golongan muda.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pemikiran terhadap operasi PEDi itu perlu diubah sebagai pemangkin ekonomi digital dan bukannya hanya menjadi pusat internet komuniti.
Fahmi berkata, kementeriannya juga akan meneliti kemungkinan untuk menambah baik Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) dengan mengambil kira beberapa penambahbaikan berdasarkan perkembangan teknologi semasa.
"Saya lihat terutama dalam kalangan anak muda, potensi ekonomi digital ini sangat dekat dan memang sangat membantu mereka memahami cara hendak menjual secara online.
"Pendapatan dia mungkin RM600 tapi setelah mereka tahu caranya ada yang berpendapatan RM5,000 ke atas.
"Jadi potensi dia sangat tinggi. Sekarang saya teliti mungkin kita hendak ubah sikit program yang ada iaitu program PUPUK untuk mengambil kira beberapa penambahbaikan dan beberapa perkembangan dalam teknologi," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat PEDi Seberang Terus, di sini.
(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)
Lawatan turut disertai Ketua Setiausaha KKD, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman.
Tambah beliau, KKD merancang membuka 186 PEDi baharu di negara ini dan daripada jumlah itu sebanyak empat PEDi akan diwujudkan di empat DUN di Kedah.
Setakat ini, terdapat sebanyak 911 PEDi di seluruh negara.
Dalam pada itu, Fahmi berkata beliau mahu mengkaji semula kadar gaji pengurus PEDi di seluruh negara dan perkara itu akan dibincangkan bersama syarikat-syarikat telekomunikasi berkaitan.