PUTRAJAYA, 7 November- Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyahut saranan Ketua Pesuruhjaya SPRM,Tan Seri Azam Baki untuk menekankan amalan integriti serta melakukan penambahbaikan dalam jabatan dan agensi di bawah kementeriannya.
Beliau berkata ia boleh dibuat terutamanya menerusi proses yang bersifat digital dan elektronik dengan mengurangkan tempoh serta kos pelaksanaannya.
"Apa yang boleh kita lakukan dalam kementerian, dalam proses-proses yang kita ada terutamanya yang bersifat digital atau pun elektronik yang boleh kita gunakan untuk kurangkan sedikit dari segi tempoh ya atau pun kurangkan kosnya. Contoh paling mudah PUSPAL, tapi ia juga satu badan yang sedang menguruskan sistem dalamam. MDEC ada sistem dalaman, FINAS juga ada sistem dalaman. Semua sistem ini perlu diteliti supaya efisyen," katanya.
Fahmi berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti Kementerian Komunikasi dan Digital di sini, hari ini.
Terdahulu, Azam menyarankan KKD untuk lihat semula tatacara kerja dalam usaha meningkatkan kecekapan dan integriti.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata KKD akan mengadakan penilaian kad laporan dalaman terhadapnya sempena setahun menggalas tanggungjawab agar penambahbaikan dapat dilakukan
Justeru, beliau meminta semua warga KKD mengisi kad laporan terhadap beliau bagi mendapatkan pandangan ikhlas serta menilai prestasi kerjanya dan pasukan selepas setahun mengemudi kementerian ini.
Fahmi, yang meminta Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa menguruskan perkara itu, berkata tindakan tersebut bukan untuk mencari kesalahan sebaliknya melihat aspek yang perlu ditambah baik melalui penilaian oleh warga kementerian berkenaan.