fb fb fb fb fb

KKD kenal pasti kawasan pedalaman untuk projek rintis Starlink

(Fahmi Fadzil)

ANGKASAPURI, 3 Ogos- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengenal pasti beberapa kawasan pedalaman untuk dijadikan lokasi projek rintis bagi penggunaan peranti satelit Starlink dalam usaha menyediakan capaian internet yang lebih baik kepada masyarakat.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, ke arah itu, beliau meminta beberapa kementerian dan Ahli Parlimen untuk memberi maklum balas berhubung liputan capaian internet di kawasan masing-masing.

"Saya telah minta sedikit maklum balas daripada Menteri Kesihatan (Dr Zaliha Mustafa) dan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dan beberapa orang Ahli Parlimen terutama kawasan parlimen yang ada pedalaman atau bentuk muka bumi sedikit sukar untuk kita pasang menara telekomunikasi.

"(Usaha ini) akan dijadikan proof of concept (projek perintis) bagi Starlink," katanya kepada RTM di sini.

Fahmi juga memaklumkan akan membuat lawatan kerja ke Sabah dan Sarawak, masing masing pada penghujung Ogos dan awal September untuk menilai keperluan peranti satelit Starlink di kedua-dua negeri itu.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan unit peranti satelit Starlink pertama kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Peranti tersebut akan digunakan UiTM Kampus Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan menjadikan ia institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama di Malaysia yang akan mengguna pakai teknologi berkenaan.

(Foto hiasan)

Media Baharu