
KUALA LUMPUR, 24 Januari – Selepas lapan tahun tidak dianjurkan, warga Radio Televisyen Malaysia (RTM) kembali berpeluang berkumpul menerusi Temasya Sukan RTM Ke-13 yang menampilkan tema ‘Kita Aktif’.
- Temasya Sukan RTM Ke-13 mengumpulkan kira-kira 4,000 kakitangan untuk merapatkan silaturahim dan semangat kekeluargaan.
- Acara berlangsung 24–26 Januari melibatkan enam zon utama, memupuk persaingan sihat dan nilai berpasukan.
- Program ini menggalakkan gaya hidup aktif serta menawarkan hadiah wang tunai, piala dan pingat kepada pemenang.
Temasya kali ini menjadi medan kepada kira-kira 4,000 kakitangan RTM dari seluruh negara untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan warga kerja yang sebelum ini bertugas di lokasi berbeza.
Selain memberi ruang kepada kakitangan untuk bersukan, penganjuran temasya ini turut membuka peluang pertemuan secara bersemuka, memandangkan RTM beroperasi 24 jam sehari.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Hamzah Ishak, Temasya Sukan RTM Ke-13 yang bermula hari ini sehingga 26 Januari melibatkan enam zon utama, iaitu Zon Tengah, Zon Utara, Zon Selatan, Zon Timur, Zon Sabah dan Zon Sarawak, dengan Zon Tengah mencatat penyertaan paling ramai seramai 400 peserta.
Beliau turut menekankan pentingnya semangat kesukanan dalam kalangan warga RTM.
“Kepada atlet, kita mempunyai hashtag ‘Kita Aktif’ dan saya harap bersukanlah dengan penuh semangat kesukanan. Di situlah ada nilai berpasukan dan kerjasama. Walaupun semua pihak mengejar kejuaraan, mereka sebenarnya adalah juara di peringkat zon masing-masing.
“Kita akan mencari siapa yang paling hebat, tetapi bersukanlah dengan penuh semangat kesukanan, jaga kesihatan sepanjang temasya ini, insya-Allah kita akan terus aktif,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Temasya Sukan RTM Ke-13 di Angkasapuri, Kota Media, di sini hari ini.
Selain menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif, penganjuran ini turut menawarkan hadiah wang tunai, piala dan pingat kepada pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.