fb fb fb fb fb

'Kita akan tunai amanat Sheikh Al-Azhar sebaik mungkin' - PM

Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb bersama Anwar Ibrahim pada Majlis Konvokesyen Khas USIM di Kuala Lumpur hari ini

KUALA LUMPUR, 4 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai pandangan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb agar umat Islam di negara ini perlu lebih positif dan berani menonjolkan akhlak Islam dalam menyantuni penganut agama lain di Malaysia serta rantau Asia.

Anwar berkata, kerajaan akan memanfaatkan pandangan itu dalam usaha merealisasikan cita-cita Malaysia membentuk sebuah negara MADANI.

"Insya-Allah, kita akan tunaikan amanat itu dengan sebaik mungkin. Perkara lain Sheikh Al-Azhar tekankan adalah untuk umat Islam itu maju... mereka mesti punyai keupayaan menguasai disiplin baharu, ilmu baharu dan teknologi baharu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada Sheikh Al-Azhar, yang disempurnakan Pro-Canselor USIM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, dalam Majlis Konvokesyen Khas di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Anwar dalam ucapannya juga berharap supaya USIM dapat memainkan peranan menterjemah pidato Sheikh Al-Azhar yang disampaikannya usai penganugerahan pada hari ini, bagi memastikan ia dapat dimanfaat serta disebar luas ke seluruh negara.

"Kupasan pidato Sheikh Al-Azhar ini membuktikan ketokohan dan tahap ilmu beliau, saya terpegun dan terpukau dengan kupasan yang begitu meluas,” katanya sambil memuji keputusan USIM memberi pengiktirafan kepada tokoh agama itu.

Sheikh Al-Azhar, yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, kini dalam lawatan khas selama empat hari ke Malaysia hingga Jumaat.

SITI AISHAH MD ISA