fb fb fb fb fb

Kilang musnah terbakar di Nibong Tebal

FOTO BOMBA

NIBONG TEBAL, 23 April- Sebuah kilang perindustrian melibatkan produk bahan kitar semula musnah dalam kebakaran di Bukit Panchor dekat sini, Pulau Pinang, pagi tadi.

Penolong Penguasa Bomba Nibong Tebal, Noor Asfariza Mohamad Abdul Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.23 pagi tadi.

Seramai 15 anggota bersama jentera pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, Sungai Bakap dan Bandar Perda telah bergegas ke lokasi kebakaran.

Sejurus tiba, bomba mendapati kebakaran melibatkan bahan kitar semula plastik dalam sebuah stor gudang dengan anggaran keluasan kawasan 30x40 kaki persegi.

Tambah beliau, kebakaran di kilang perindustrian bahan kitar semula kelas B itu berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 11.43 pagi.

Kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kemalangan nyawa dan punca kejadian sedang disiasat.

SITI AISHAH MD ISA