GEORGE TOWN, 25 November - Pembukaan kilang baharu di Pulau Pinang terus memberi impak positif kepada ekonomi negeri sekali gus mencipta peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia serta penduduk setempat.
Seorang penduduk, Mohd Fadzil Ismail berkata, ia merupakan pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri dan peluang memperkukuh kedudukan kewangan.
"Pendapatan penduduk sekitar akan makin bertambah dan peluang-peluang pekerjaan akan lebih besar kepada mereka yang masih mencari pekerjaan. Secara automatiknya, Pulau Pinang akan bertambah maju.
"Saya berharap peluang-peluang ini diambil oleh penduduk tempatan bagi meningkatkan lagi pendapatan mereka. Pembukaan kilang baru juga secara tidak langsung mengurangkan kadar pengangguran di kawasan setempat," katanya.
Meor Azfar Syamim Meor Zalehuddin berkata, pembukaan kilang tersebut membuka peluang kepada penduduk setempat untuk mencari pekerjaan.
"Kalau pembukaan kilang yang baru ini, peluang pekerjaan lebih banyak. Kita akan kurang pengangguran dalam Malaysia. Semakin banyak kilang dibuka, lebih mudah untuk kita mendapatkan pekerjaan," katanya.
Bagi Fatin Nur Syamimi Alias, pembukaan kilang di Pulau Pinang dilihat membuka ruang kepada anak tempatan sekali gus mencipta peluang pekerjaan kepada graduan lepasan institusi pengajian tinggi.
"Manfaatnya, bolehlah menjana pendapatan untuk student yang baru graduate, seperti saya. Penduduk setempat juga boleh membuka perniagaan tepi jalan untuk memenuhi keperluan pekerja kilang. Jadi, fokus bukan sahaja pada kilang tetapi turut memperkukuh ekonomi kawasan setempat," katanya.
Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sebanyak RM11.3 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan telah diluluskan bawah pimpinan Kerajaan MADANI.
Antara pengilang yang telah memulakan operasi termasuk INV New Material Technology (M) Sdn Bhd di Pulau Pinang sebanyak RM3.2 bilion ringgit, Alliance Contract Manufacturing Sdn Bhd di Pulau Pinang dan Kedah dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion ringgit dan Cosmx Technology Malaysia Sdn Bhd di Pulau Pinang (RM921 juta).