PUTRAJAYA, 8 Januari- Semua Kementerian, Jabatan dan Agensi perlu kemukakan laporan bulanan berkenaan kemajuan dan sumbangan penjawat awam dalam melaksanakan setiap projek kerajaan kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar laporan itu perlu dikemukakan oleh Ketua Pengarah dan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebelum disampaikan kepada beliau.
"Selalunya apabila ketua-ketua jabatan, KSU jumpa, bincang dengan saya dalam mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa kabinet yang turut dipengerusikan Datuk Seri Fadilah semuanya akan mencadangkan minta peruntukan.
"Untuk meambah projek memang dibolehkan, tetapi ada kaedah baru yang kita nak perkenalkan iaitu mesti ada laporan bulanan. Apa yang dilakukan apakah sumbangan saudara untuk melaksana dan usaha melaksanakan projek itu. Dan ini laporan bulanan yang harus dihantar daripada KP, KSU kepada KSN dan juga untuk makluman saya supaya ada pendekatan yang agak berbeza," katanya semasa berucap dalam majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Bulan Januari 2024 di sini.
Majlis perjumpaan berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Mohd Zuki.
Dalam perjumpaan itu, Anwar juga mahu sektor pendidikan negara perlu melakukan anjakan paradigma dan tidak bergantung kepada acuan lama.
Menurut Anwar penguasaan bahasa Melayu harus lebih baik, manakala penggunaan Bahasa Inggeris perlu diberi keutamaan dan ditingkatkan.
"Pendidikan tidak boleh dengan acuan yang lama, penguasaan bahasa harus lebih baik tetapi peningkatan penggunaan Bahasa Inggeris harus diberi keutamaan.
Sementara itu berkenaan Kementerian Digital yang baru dibentuk adalah untuk menerajui usaha transformasi digital supaya negara tidak ketinggalan dan dapat bersaing pantas.
Kementerian khas itu, wujud susulan rombakan Kabinet pada bulan lepas. Ia dibentuk kerana memikirkan Malaysia tidak mampu bersaing dengan pantas mengikut tahap kelajuan yang dicapai oleh negara tanpa memberi fokus dalam bidang digital.
"Program digital harus dilakukan lebih drastik, agresif berbanding dahulu. Kalau tidak kita akan ketinggalan. Begitu juga program-program lain di kemnenterian-kementerian lain umpamanya digital. Saya bentuk kementerian khas kerana saya fikir Malaysia boleh bersaing dengan pantas dengan tahap kemajuan yang di capai oleh beberapa negara lain," katanya.
Bagaimanapun Anwar menjelaskan soal kemanusian, keadilan dan akhlak yang baik tidak perlu ditinggalkan dalam keghairahan memacu pertumbuhan ekonomi, digital, kesihatan dan meningkatkan mutu pendidikan.