fb fb fb fb fb

KeTSA giat laksana aktiviti pemetaan, pembangunan, pemantauan Pusat Data dan Inventori Air Bawah Tanah - PM

(Ismail Sabri pada Sambutan Hari Air Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Bera/PMO)

BERA, 26 Mac - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menerusi Jabatan Mineral dan Geosains giat melaksanakan aktiviti pemetaan, pembangunan dan pemantauan Pusat Data dan Inventori Air Bawah Tanah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia bagi meningkatkan penggunaannya sebagai sumber konjuntif bekalan air negara bagi kegunaan struktur binaan seperti empangan bawah tanah, akuifer buatan dan susupan tebing.

Berucap pada Sambutan Hari Air Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di sini, beliau menyeru agar tumpuan diberi bagi memelihara sumber air bawah tanah.

Jelasnya, biarpun bekalan air negara terjamin namun masih terdapat pelbagai isu dan cabaran berkait pengurusannya yang perlu diambil tindakan.

"Malaysia mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu dengan keupayaan penjanaan semula sebanyak 64 bilion meter padu setahun.

"Kapasiti ini sangat besar dan sudah tentu berupaya menjadi sumber alternatif bekalan air negara.

"Penggunaan air bawah tanah di Malaysia sebenarnya kurang daripada 3% berbanding dengan negara lain seperti Denmark 100%, Austria 98%, Thailand 80%, China 78% dan Amerika Syarikat 50%," katanya.

Justeru, Ismail Sabri mahu isu dan cabaran dalam pengurusan sumber air negara perlu ditangani dengan berkesan, lestari serta holistik.

"Ketersediaan dan kelestarian sumber air yang bersih seterusnya akan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

(FOTO PMO)

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata berdasarkan kajian Sumber Air Negara (NWRS) bagi Semenanjung Malaysia mengesyorkan, pembinaan lebih banyak kawasan tadahan diperlukan.

Ia untuk memenuhi keperluan bekalan air domestik dan pengairan bagi menampung permintaan sehingga tahun 2050.

"Kajian itu juga mendapati air bawah tanah boleh dijadikan sumber air alternatif untuk kawasan luar bandar dan kawasan terpencil dan untuk pelbagai kegunaan termasuk perindustrian, pertanian dan domestik melalui beberapa kaedah dan proses yang bersesuaian," menurut beliau.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut memaklumkan kerajaan juga sedang mengkaji semula Dasar Sumber Air Negara (DSAN) 2012 dengan mengambil kira situasi dan cabaran semasa yang dihadapi sektor air Negara.

Dasar ini akan disesuaikan dengan pelan Transformasi Sektor Air 2040 dan perancangan-perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Ujarnya, DSAN 2012 menekankan keperluan untuk melindungi alam sekitar bagi memelihara sumber air, bagi air permukaan dan air bawah tanah.

Media Baharu