fb fb fb fb fb

Keterangkuman, kemampanan tunjang kebangkitan Malaysia-ASEAN- PM

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 Januari-Keterangkuman dan kemampanan perlu menjadi tunjang kebangkitan Malaysia dan ASEAN, dengan memilih perkongsian kemakmuran secara adil tanpa ada yang terkecuali.

Menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di bawah kepengerusian Malaysia, blok ASEAN akan terus teguh mempertahan prinsip kepusatan ASEAN.

Ini membolehkan negara-negara anggota bekerjasama dengan Amerika Syarikat, China, India, Eropah, dan negara-negara lain tanpa perlu memihak atau terikat dengan konflik luar.

"Alhamdulillah, misi delegasi Malaysia di empat negara iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, Belgium, dan Switzerland telah berakhir.

"Saya turut menggunakan misi ini untuk menjulang hubungan erat ASEAN sebagai kekuatan bagi rantau kita,” kata Anwar.

Tambah Anwar, misi berkenaan berjaya memperkukuh hubungan dua hala, menarik pelaburan dan meningkatkan perdagangan.

"Meskipun rencam politik, pimpinan dan rakyat negara-negara ini (UAE, United Kingdom, Belgium, dan Switzerland) memberi tumpuan penuh kepada ekonomi, budaya ilmu, kemahiran, keterampilan dan kecerdasan buatan.

"Sikap ini harus kita teladani ketimbang sepanjang masa berbicara soal titik bengik yang memecahbelahkan dan merugikan," katanya lagi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM