BAGAN DATUK, 30 Januari- Pemimpin politik diingatkan agar mengetepikan perbezaan parti untuk memberi khidmat kepada rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semangat kekitaan perlu dipelihara bagi memastikan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dalam negara dapat dikekalkan.
“Sebagai ahli politik kita jangan ada warna yang berbeza-beza, soal memang banyak atau sedikit, itu soal lain.
“Yang penting apabila menang sebagai ahli parlimen, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), jagalah rakyat bawahan tanpa mengira parti politik, tanpa mengira agama, kaum, perbezaan budaya dan bangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Dewan RC milik M. Nagaraja yang juga dikenali sebagai Raja Cendol di Simpang Ampat, Bagan Datuk.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan berbangga atas kejayaan usahawan itu yang dikenali sejak berusia 22 tahun.
Gelaran 'Raja Cendol' diberi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kepada bapa tiga anak itu pada satu Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2007.
Sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk, beliau berharap kewujudan dewan tersebut dapat menjadi simbolik perpaduan kepada penduduk di kawasan itu.