KETENGAH rancang bina PPRS, PPRT

Foto hiasan

HULU TERENGGANU, 12 Februari – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) merancang membina dua jenis kediaman iaitu Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk individu yang layak.

RINGKASAN BERITA AI
  • KETENGAH membina PPRS dan PPRT untuk memastikan keluarga luar bandar miliki kediaman selesa, selamat dan berkualiti.
  • Pembinaan dijalankan di lokasi seperti Air Putih, Bandar Bukit Besi dan Tasik Kenyir untuk kesejahteraan masyarakat setempat.
  • Penerima berasa bersyukur; model PPRS pertama jadi rujukan KKDW, rumah direka mesra keluarga dan patuh syariah.

Pengerusi KETENGAH, Datuk Rozi Mamat berkata, ia bertujuan memastikan lebih ramai keluarga luar bandar memiliki kediaman selesa, selamat, berkualiti dan sesuai untuk keluarga berbilang generasi.

Kediaman tersebut akan dibina di lokasi seperti Air Putih, Bandar Bukit Besi, dan Tasik Kenyir, dengan sasaran memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat setempat.

“Pada tahun ini, jumlah keseluruhan berbanding tahun lepas, kita berjaya menjangkau kira-kira 791,000 kawasan tengah sahaja. Dalam tempoh ini, kita dapat membantu antara lapan hingga sepuluh buah rumah. Tahun lepas insya-Allah.

“Pada tahun ini pula, capaian akan lebih meningkat lagi. Dengan konsep yang mesra ini, saya khabarkan ia bertujuan membantu masyarakat yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kunci rumah PPRS kepada Sakri Kadir dan isteri, Rohaya Ali di Kampung Peroh, serta kunci rumah PPRT kepada Zamri Chik di Kampung Bukit Bading, Ajil di sini.

Penerima PPRS di Kg. Peroh Rohaya Ali meluahkan rasa gembira dan bersyukur selepas menerima kunci rumah.

“Berbeza dengan duduk menyewa sebelum ini, setiap bulan memang kena fikir dua kali nak bayar sewa. Dulu sewa RM200 setengah. Rumah dah siap dua bulan, cuma sedikit kelewatan dari segi pemasangan api dan air sahaja,” katanya.

Sementara itu penerima PPRT di Kg. Bukit Bading Zamri Chik pula meluahkan rasa syukur selepas mampu memiliki kediaman sendiri selepas menyewa lebih 15 tahun.

“Saya sangat gembira kerana Ketengah memberikan rumah ini kepada saya. Terima kasih banyak kepada pihak Ketengah. Sebelum ini, saya menyewa hampir 17 tahun,” katanya.

Terdahulu, Datuk Rozi bersama Pengurus Besar KETENGAH, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa, mengadakan sesi santai bersama masyarakat di Warung Tepi Masjid berhampiran Masjid Kampung Tok Dor, Ajil.

Menurutnya rumah milik pemandu bas ekspres, Sakri, merupakan kediaman pertama dibangunkan KETENGAH bawah model PPRS dan akan menjadi rujukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi melaksanakan projek seumpamanya.

Berkonsepkan mesra keluarga dan patuh syariah, rumah ini mempunyai satu bilik utama, dua bilik tetamu, anak, dua bilik air, dapur, dan ruang tamu.