KETENGAH berpotensi jadi pemacu utama pembangunan wilayah mampan

Banyak perubahan telah digerakkan dan hasilnya dapat dirasai rakyat sehingga hari ini

KUALA LUMPUR, 12 April – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memiliki potensi besar untuk terus melangkah ke hadapan sebagai pemacu utama pembangunan wilayah yang mampan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KETENGAH memainkan peranan utama membangunkan sosioekonomi masyarakat luar bandar Terengganu.
  • Agensi ini berpotensi memperkasakan ekopelancongan berdasarkan keindahan alam dan warisan tempatan.
  • Perancangan tersusun dan pelaksanaan konsisten mampu membuka peluang ekonomi lebih luas kepada komuniti setempat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejak diperbadankan pada 1973, KETENGAH memainkan peranan yang besar dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat luar bandar di Terengganu.

“Banyak perubahan yang telah digerakkan dan hasilnya dapat dirasai oleh rakyat sehingga hari ini,” katanya dalam hantaran di Facebook bersempena ulang tahun ke-53 agensi itu, hari ini.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, KETENGAH juga berpotensi besar untuk memperkasakan sektor ekopelancongan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi serta keunikan warisan tempatan.

Dengan perancangan yang tersusun serta pelaksanaan yang konsisten, agensi itu mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat.

“Saya mendoakan KETENGAH akan terus melakar kejayaan lebih besar pada masa hadapan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan wilayah,” katanya.

Diperbadankan pada 12 April 1973, KETENGAH yang merupakan agensi bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah diberi kuasa melaksanakan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan seluas 653,075 hektar meliputi kawasan pedalaman daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.