fb fb fb fb fb

Ketegangan di Lubnan, keputusan pengunduran pasukan pengaman belum diputuskan

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau di sini, hari ini.

SEREMBAN, 23 Oktober- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) belum memutuskan untuk membawa keluar pasukan pengamannya di Lubnan susulan ketegangan serangan antara Israel dan negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan PBB serta sentiasa memantau keadaan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di sana.

Ujarnya, pembabitan pasukan MALBATT 850-11 di bawah Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) adalah di bawah panji-panji dan mandat PBB.

Katanya, setakat ini, pelan evakuasi telah dibincangkan jika situasi konflik di wilayah itu bertambah buruk.

"MALBATT ini di bawah mandat PBB dan ada berbelas-belas negara yang menyertai Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).

"Jadi, PBB yang akan buat pengunduran secara bersama dan Malaysia tidak boleh buat keputusan secara bersendirian. Tapi kita telah suarakan agar PBB melihat melalui Majlis Keselamatannya," katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau di sini, hari ini.

Sementara itu Mohamad berkata, akan hadir ke Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) ke-27 di Apia, Samoa, hari ini.

Katanya antara yang akan disuarakan adalah mengenai hasrat negara-negara Komanwel memperjuangkan hak asasi manusia dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Gaza.

"Kalau kita boleh tamatkan dasar aparteid di Afrika Selatan dahulu, mengapa tidak kita lakukan perkara sama di Palestin atau Gaza. Ini suara yang saya akan bawa mewakili Perdana Menteri untuk kita pastikan keberadaan negara-negara Komanwel ini dapat dirasai oleh dunia," katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI