
KUALA LUMPUR, 25 Februari -Sebanyak 18 MyMAHIR Future Skills Talent Council (FSTC) ditubuhkan, bagi memastikan kemahiran graduan selari dengan keperluan pekerjaan masa hadapan.
- Ditubuhkan 18 MyMAHIR Future Skills Talent Council untuk selaraskan kemahiran graduan dengan keperluan pekerjaan masa hadapan.
- MyMAHIR Skills Lab tawarkan latihan intensif dalam analitik data, AI dan keselamatan siber dengan kerjasama majikan.
- Program latihan termasuk latihan berasaskan projek, bimbingan industri dan jaminan temu duga atau penempatan pekerjaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, FSTC telah mengenal pasti keperluan bagi hampir 59,000 tenaga kerja pada Disember 2025.
Dapatan itu menjadi asas penting dalam membentuk program latihan yang relevan, responsif serta selari dengan keperluan pasaran kerja.
“Selain itu, TalentCorp melalui program MyMAHIR Skills Lab menyediakan latihan intensif berfokus kepada kemahiran masa hadapan seperti analitik data, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber yang dikenal pasti menerusi dapatan FSTC.
“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama majikan dan penyedia latihan industri, merangkumi latihan berasaskan projek sebenar, bimbingan industri serta jaminan temu duga atau penempatan pekerjaan selepas tamat latihan, dengan kadar gaji permulaan antara lima dan 15 peratus lebih tinggi daripada purata pasaran,” katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin mengenai usaha kerajaan bagi memastikan kesesuaian kemahiran graduan institusi pengajian tinggi dengan keperluan dan permintaan pekerjaan pada masa hadapan, di Dewan Negara.
Datuk Seri Ramanan berkata, KESUMA memberi fokus terhadap kesesuaian kemahiran graduan dengan keperluan dan permintaan pekerjaan masa hadapan, khususnya dalam mendepani perkembangan pesat teknologi digital.
Beliau berkata, walaupun agensi latihan di bawah KESUMA memberi tumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), graduan institusi pengajian tinggi turut disokong menerusi pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan Internship Training Scheme (ITS) oleh HRD Corp.
Katanya, ITS menyediakan latihan praktikal berstruktur kepada graduan berdasarkan keperluan majikan dan modul latihan yang dibangunkan bersama industri bagi memastikan kemahiran diperoleh selaras dengan permintaan semasa.