KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyatakan kesediaan untuk membantu mempertingkat latihan kemahiran dalam sektor pertanian, susulan penurunan kebolehpasaran graduan pertanian sebanyak 5.6 peratus pada tahun lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata, antara tahun 2020 hingga 2024, hanya seramai 236 pekerja kemahiran dalam sektor pertanian, perhutanan, penternakan, dan perikanan direkodkan.
Angka itu diakui jauh lebih rendah berbanding sektor lain.
"Pada tahun 2020, hanya 73 pekerja dalam bidang pertanian dan sektor berkaitan direkodkan, dan walaupun jumlah tersebut meningkat, ia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan sektor lain seperti pengurusan (40,000 pekerja) dan pertukangan (6,000 pekerja).
"Sektor profesional pula mencatatkan 75,000 pekerja," katanya di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Terap.
KESUMA melalui agensi seperti HRD Corp, Talent Corp, dan Tabung Kemahiran bersedia untuk membantu melatih lebih ramai tenaga kerja dalam sektor pertanian.
Timbalan Menteri turut menekankan kepentingan menangani penurunan kemahiran dalam sektor ini bagi memastikan kelangsungan dan pembangunan sektor pertanian di Malaysia.