KUALA LUMPUR, 23 November - Kestabilan sistem politik negara antara bukti kejayaan pentadbiran kerajaan MADANI sepanjang tempoh dua tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun percaya, ia juga berkat kerjasama seluruh barisan kepimpinan negara yang memberi komitmen dan khidmat terbaik kepada rakyat.
Pada masa sama katanya, ia disokong pelaksanaan program serta dasar kerajaan yang berkesan.
"Dan ini juga kerana sumbangan menteri-menteri yang memberi sumbangan dan khidmat yang baik dan keberkesanan, pelaksanaan dasar-dasar ini adalah kerana sumbangan serta komitmen iltizam barisan penjawat awam yang menunjukkan kesediaan mereka," kata Anwar.
Beliau berkata demikian dalam sesi townhall sempena dengan Majlis Perasmian Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Sementara itu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, agenda reformasi perkhidmatan awam merupakan usaha berterusan ke arah membina asas kukuh masa depan negara.
Beliau komited pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) akan diperkasa bagi merealisasikan matlamat tersebut.
Antara inisiatif utama yang sedang diusahakan ialah Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi dan Pekeliling Uji Kaji Peraturan oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) bagi menyokong pelaksanaan perubahan secara sistematik.
Katanya ia juga, melancarkan proses penyampaian perkhidmatan dan menjadikan urusan dengan kerajaan lebih mudah, cepat dan tepat.
"Melangkah ke hadapan, kita telah berada pada landasan yang tepat dalam merealisasikan wawasan untuk menjadi sebuah negara maju dan inklusif seiring dengan matlamat ekonomi MADANI.
"Langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan MADANI membuktikan bahawa kita bersedia untuk menghadapi cabaran global dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati di persada antarabangsa," kata Shamsul Azri.