KUALA LUMPUR, 9 Januari - Isu Kestabilan dan keamananan serantau menjadi asas penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara.
Menteri Pertahanan Datuk Sri Khaleed Nordin berkata, ASEAN sendiri telah menunjukkan contoh baik dalam mengekalkan kestabilan tersebut.
Antaranya dengan mengadakan rundingan serta menjalinkan hubungan baik antara negara anggota.
Langkah tersebut bagi menjamin kedaulatan negara serta keselamatan dan keutuhan kawasan sempadan.
"Kami adakan mesyuarat setiap tahun. Dan sebenarnya, saya rasa kita boleh lihat apabila tahun ini menjadi pengerusi, akan ada lebih daripada 300 mesyuarat. Jadi saya percaya, kenapa saya diminta juga untuk datang sebagai menteri majlis, tidak berkaitan langsung dengan ekonomi.
"Tetapi ia relevan, kerana kita memastikan kawasan ini baik, supaya apa sahaja rancangan yang anda ada, untuk membangunkan ekonomi dan ia boleh dilaksanakan," kata Khaleed ketika menjadi panel bagi Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025 ,di ibu negara.
FEM 2025 menghimpunkan pemegang taruh daripada pelbagai sektor untuk membincangkan isu-isu berkaitan termasuk inovasi dan teknologi, peluang pelaburan serta peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN selain strategi menghadapi cabaran ekonomi global.
Dalam pada itu, Khaleed turut menjelaskan; penting bagi Malaysia menyertai BRICS agar peluang dalam sektor perdagangan dapat diperluaskan dengan negara-negara anggotanya.
"Oleh itu, saya percaya bahawa kita tidak boleh mengabaikan potensi yang ditawarkan BRICS kepada Malaysia. Jadi dengan menyertai BRICS, ia menawarkan bukan sahaja peluang ekonomi, tetapi kerjasama dalam banyak aspek penting. Contohnya, campur tangan perubahan iklim, penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi baru muncul dan amalan terbaik," kata Khalid.
Beliau turut menjelaskan penyertaan Malaysia juga tidak meninggalkan pasaran tradisional sedia ada malah akan membuka peluang pasaran baharu untuk perdagangan negara.