KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Usaha melindungi kanak-kanak tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan, sebaliknya tanggungjawab nasional yang memerlukan komitmen menyeluruh daripada kerajaan, sekolah dan ibu bapa.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, menggesa kerajaan mengambil langkah lebih tegas menangani peningkatan kes buli, rogol serta bunuh diri dalam kalangan pelajar.
Pada masa sama, cadangan menetapkan had umur minimum 16 tahun untuk penggunaan media sosial dilihat penting bagi melindungi golongan kanak-kanak daripada ancaman digital.
"Sudah tiba masanya kerajaan menghadkan umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun. Ini penting bagi melindungi anak-anak kita daripada pengaruh yang boleh merosakkan emosi dan perkembangan mental mereka," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Larry turut mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap sekolah yang disambungkan terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi memastikan pemantauan keselamatan lebih berkesan dan tindakan pantas sekiranya berlaku insiden buli atau jenayah.
Pendekatan itu mampu mencegah kejadian tidak diingini di peringkat awal serta meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap tahap keselamatan anak-anak di sekolah.
"Kita tidak boleh hanya menunggu tragedi berlaku. Sistem pemantauan bersepadu antara sekolah dan pihak berkuasa boleh menyelamatkan nyawa," tegasnya.
Beliau turut mencadangkan agar konsep merotan secara berhemah dikaji semula sebagai kaedah mendidik, bukan menghukum.
Tindakan disiplin yang terkawal mampu membentuk akhlak pelajar tanpa mengundang kesan trauma atau penderaan fizikal.
Datuk Larry turut meminta Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengemukakan data terkini melibatkan kes buli, rogol dan bunuh diri pelajar sejak tahun 2022 hingga kini bagi menilai keberkesanan dasar sedia ada.
"Kita perlukan data yang tepat untuk merangka dasar baharu yang benar-benar melindungi kanak-kanak," katanya.