KUALA LUMPUR, 24 Jun- Kes tuntutan kumpulan Sulu perlu dimuktamadkan, khususnya mereka yang menjadi dalang dan penderhaka yang membantu tuntutan kumpulan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan kegusaran juga timbul mengenai dalang serta penderhaka dalam kalangan rakyat Malaysia.
Jelasnya, mereka bertindak sebagai penggerak membantu memberikan maklumat kepada tuntutan kumpulan Sulu.
"Yang kita sedang dalam proses yang tak dapat saya beri strategi sebenarnya adalah kita tahu adanya dalang dan adanya penderhaka dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyokong dan membantu tuntutan mereka.
"Inilah sebenarnya yang akan kita lakukan, sebab bagi luar negara itu proses rayuan yang berpaksikan kepada keputusan Dr Stampa, keputusan timbang tara itu kita akan selesaikan.
"Tapi dalam negara ini penderhaka dan pendalang inilah yang kita dalam proses untuk melakukan dan mencari mereka sebab kita mendapat berita-berita yang mengatakan merekalah sebenarnya penggerak yang membantu kepada tuntutan-tuntutan sedemikian, yang memberi maklumat sebenarnya", katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan wakil Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai langkah konkrit memuktamadkan kes berkenaan.