fb fb fb fb fb

Kes 'scammer' di Melaka meningkat kepada 1,571 - Exco

Mohd Noor Helmy Abdul Halem pada program 'Apa Khabau YB' di MELAKAfm hari ini

JALAN TAMING SARI, 9 Mei- Kes jenayah membabitkan 'scammer' atau penipuan di Melaka meningkat dengan 1,571 orang direkodkan menjadi mangsa sepanjang tahun lalu.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 1,340 mangsa pada tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taktik 'scammer' yang muncul dengan pelbagai cara.

"Jadi yang penting apabila terima panggilan, terima perbualan mencurigakan, bincang (lapor)... jangan rasa diri kita tahu, jangan rasa diri kita pandai, oh saya dah ada maklumat tentang 'scammer', saya tahu ini 'scammer', saya saja nak layan.

"(Tetapi) kadang-kadang pada niat nak melayan itulah akan timbul kerosakan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong ditemui pemberita pada program 'Apa Khabau YB' di MELAKAfm dekat sini hari ini.

Tambahnya, jika berdepan situasi mencurigakan dalam media sosial atau aplikasi tertentu, individu itu perlu melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa dengan kadar segera.

Mohd Noor Helmy mengakui selaku wakil rakyat Duyong, beliau tidak keberatan untuk menerima aduan daripada penduduk di kawasan itu yang buntu sekiranya dihubungi 'scammer'.

"Jangan kita rasa macam nak cuba selesaikan segera, jangan percaya dengan semudah-mudahnya. Bincang dengan orang yang kita percaya. Kalau teruk sangat, tiada orang nak percaya... percayalah pada wakil rakyat yang ada depan mata ini, teks, tanya betul ke tak YB?," katanya lagi.

SITI AISHAH MD ISA