fb fb fb fb fb

Kes pencemaran kilang, Johor ambil tindakan terhadap lima suspek

Foto Fail

JOHOR BAHRU, 13 Oktober- Johor akan mengambil tindakan terhadap kilang yang dipercayai terlibat kes pencemaran di Kota Tinggi dan Johor Bahru, pada bulan lalu.

Namun, ia akan dilaksana selepas proses pendakwaan lima suspek terlibat, selesai.

Menurut Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon, kilang tersebut masih beroperasi, bagaimanapun pihak berkuasa mempergiat pemantauan bagi memastikan insiden sama tidak berulang.  

"Maka, kena tunggu bicara dalam mahkamah tersebut. Kita akan memastikan ada satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)."

"Ia bagi mempertingkat rondaan serta penguatkuasaan terhadap kilang-kilang terbabit," kata Tian Soon kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah inisiatif Penyahkarbon Negeri Johor, di sini.

Jelasnya, jawatankuasa khas yang ditubuhkan turut memeriksa 150 kilang sekitar kawasan pencemaran.

Pada 26 September lalu, lima individu termasuk seorang pengarah kilang warga Singapura, didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas pertuduhan melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan air di Bandar Tenggara. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM