fb fb fb fb fb

Kes pecah lot tanah rizab Melayu, segera lapor kepada SPRM

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Mei- Segera lapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekiranya menjadi mangsa kes pemecahan lot tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu.

Gesaan dibuat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kes seumpama itu dari negeri-negeri lain,  setakat ini.

Tan Sri Azam menyifatkan kes yang berlaku di Perak baru-baru ini sebagai kes terpencil.

"Sekiranya ada laporan maklumat yang diterima berhubung penyelewengan hal-hal berkaitan dengan perkara jenayah yang menukar hak tanah rizab melayu kepada pegangan bebas, ini merupakan satu kesalahan jenayah yang tentu kita akan jalankan siasatan," kata Tan Sri Azam kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia di Pusat Dagangan Dunia di ibu kota.

Semalam, seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah ditahan SPRM untuk membantu siasatan kes pemecahan lot membabitkan kira-kira 650 hektar tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu di Mukim Manjong, Sitiawan, Perak.

Penahanan tersebut, rentetan daripada tangkapan seorang bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik di Pejabat Tanah dan Galian Perak yang dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, bulan lalu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM