KUALA LUMPUR, 12 Disember- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, menggesa mufti Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri lain untuk mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan hukum syarak berkaitan penyimpanan dan pembekuan mayat.
Menurut Mohd Na’im, tidak menjadi kesalahan bagi mufti di mana-mana negeri untuk memberikan pandangan umum tentang isu melibatkan hukum, walaupun insiden tersebut berlaku di luar negeri mereka.
"Saya minta sangat kerjasama daripada semua mufti-mufti negeri, kita harapkan supaya mufti negeri-negeri sebab bila ia melibatkan persoalan hukum, masyarakat akan tertanya-tanya.
"Jadi dengan kuasa yang ada pada mereka untuk mengeluarkan pandangan hukum yang segera supaya segala persoalan masyarakat berhubung isu itu akan terjawab," katanya selepas menghadiri sidang media Bajet Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2025 di sini.
Sebelum ini, insiden jenazah seorang bayi yang dibekukan selama 16 hari di peti sejuk mayat di sebuah hospital swasta di Klang menjadi tular, dipercayai akibat isu berkaitan penjelasan bayaran bil hospital.
BERITA BERKAITAN: