fb fb fb fb fb

Kes kusta meningkat 40 peratus pada 2023

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 29 Januari- Kes kusta baharu dalam negara meningkat sebanyak 40 peratus kepada 256 kes pada tahun 2023 berbanding 183 kes tahun sebelumnya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi satu kenyataan sempena Hari Kusta Sedunia memaklumkan, peningkatan berkenaan berikutan pengukuhan aktiviti mencari dan mengesan kes secara bersasar di lapangan.

“Pengukuhan aktiviti ini adalah selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mencapai sasaran sifar kes kusta tempatan baharu menjelang 2030.

Pengesanan awal kes dan kontak rapat dapat mengawal penyakit kusta daripada terus merebak, manakala rawatan awal dapat mengurangkan dan mencegah komplikasi penyakit dan kecacatan kekal,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga turut melaksanakan pemberian rawatan profilaksis Dos Tunggal Rifampicin kepada kontak rapat dan komuniti berisiko seperti saranan WHO sebagai langkah tambahan dalam mengurangkan risiko penyakit kusta.

Jelas Datuk Seri Dr Dzulkefly, individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan kusta perlu menjalani ujian torehan kulit atau biopsi kulit bagi pengesahan diagnosis.

“Penyakit ini boleh sembuh dengan pengambilan ‘Multi Drug Therapy’ (MDT) yang perlu diambil setiap hari dalam tempoh 6 bulan sehingga 18 bulan.

Namun jika lewat atau tidak mendapatkan rawatan, pesakit boleh mendapat komplikasi seperti buta, kelemahan dan kecacatan kekal di otot kaki dan tangan,” katanya.

KKM juga menyeru setiap individu dan masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti yang boleh mewujudkan kesedaran mengenai penyakit kusta.

Hari Kusta Sedunia disambut pada hari Ahad terakhir bulan Januari setiap tahun untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat bahawa penyakit itu masih wujud dan boleh menjangkiti kepada yang berisiko.

Tema Hari Kusta Sedunia pada tahun ini adalah 'Hentikan Kusta' yang menyeru kepada semua individu, masyarakat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan, pihak berkepentingan untuk bersama-sama dalam usaha mencegah penularan dan menghentikan jangkitan kusta di Malaysia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE