KUALA LUMPUR, 30 Oktober -Sebanyak 1,183 kes keganasan rumah tangga melibatkan mangsa lelaki direkodkan di seluruh negara hingga Julai tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, jumlah itu sekali gus terus mencatatkan peningkatan berbanding tahun lepas.
"Pada tahun 2022, seramai 1,778 mangsa lelaki direkodkan. Tahun 2023 berlaku penurunan kepada 1,213 kes, namun kes meningkat semula kepada 1,865 kes pada 2024. Bagi tahun 2025 hingga Julai, 1,183 kes telah direkodkan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi mengenai statistik terperinci mangsa lelaki dalam kes keganasan rumah tangga dari tempoh 2022 hingga kini, di Dewan Rakyat.
Katanya, kerajaan komited menangani isu tersebut melalui pelaksanaan inisiatif strategik bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) selaras dengan fokus Rancangan Malaysia Ke-13.
Antara usaha tersebut ialah dengan pelaksanaan Program Lelaki Budiman Negara yang merangkumi pembangunan dan pelaksanaan modul pendidikan khusus, bagi memperkasa peranan lelaki sebagai suami, bapa dan anggota masyarakat bertanggungjawab.
"LPPKN sentiasa memperkukuh pendekatan outreach seperti kaunseling. Mangsa boleh memilih kaunselor lelaki atau perempuan mengikut keselesaan supaya proses interaksi lebih efektif dan membantu mereka berkongsi masalah," katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Dr. Noraini berkata kempen kesedaran yang dilaksanakan kementerian bersifat inklusif serta menekankan bahawa keganasan rumah tangga tidak hanya menimpa golongan wanita.
"Talian bantuan Talian Kasih 15999 disediakan bagi membolehkan mangsa mendapatkan sokongan dan bantuan segera." katanya lagi.