Kes kebakaran di Kelantan rekod pengurangan sebanyak 55 peratus

Foto hiasan

KOTA BHARU, 12 Februari – Kes kebakaran di Kelantan mencatatkan penurunan sebanyak 55 peratus sepanjang 2025 berikutan kesedaran masyarakat terhadap pengendalian dapur, barangan elektrik dan kebakaran terbuka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes kebakaran berkurang sebanyak 55 peratus pada 2025 berbanding 2024.
  • Kerugian harta benda menurun 16 peratus; harta yang diselamatkan melebihi RM163 juta.
  • JBPM terima 177 panggilan kebakaran semasa musim perayaan; 43 peratus melibatkan bangunan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, sebanyak 1,400 kes kebakaran direkodkan pada tahun lalu berbanding 3,112 kes pada 2024.

““Pada 2024, di negeri Kelantan, punca kebakaran tertinggi adalah akibat elektrik. Elektrik ini terbahagi kepada dua punca iaitu penggunaan peralatan dan penyambungan elektrik. Bagi tahun 2025, pada tahun ini, kita akan mempergiatkan lagi aktiviti kesedaran keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Tahunan 2026 JBPM Kelantan di Tunjong di sini hari ini.

Farhan Sufyan turut memaklumkan bahawa jumlah kerugian harta benda pada 2025 juga berkurang sebanyak 16 peratus iaitu iaitu merekodkan lebih RM23 juta, manakala nilai harta yang berjaya diselamatkan pula mencecah lebih RM163 juta.

Dalam pada itu, pihak JBPM Kelantan menerima sebanyak 177 panggilan kebakaran dengan 43 peratus melibatkan kebakaran bangunan atau struktur sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri pada 2025.

JBPM Kelantan juga memberi respons kepada 99 kes kemalangan jalan raya melibatkan dua kematian dan 23 kecederaan sempena Hari Raya Aidilfitri bagi tempoh 23 Mac hingga 9 April 2025.