fb fb fb fb fb

Kes GISBH: Enam kanak-kanak diserah kepada penjaga, tujuh di JKM

FOTO FACEBOOK Hajah Nancy Haji Shukri

SEMATAN, 27 Januari- Enam daripada 13 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Operasi Global (Op Global) dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah diperintahkan oleh mahkamah untuk diserahkan kepada pihak yang layak bagi menjaga serta melindungi mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata mahkamah sebelum ini telah mengeluarkan perintah agar 13 kanak-kanak tersebut berada bawah jagaan sementara institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, tujuh kanak-kanak yang masih belum dituntut akan terus menerima perlindungan daripada JKM selama tiga tahun.

"Kami mencari individu yang layak dan sesuai untuk menjaga kesemua mereka. Ada sesetengah ibu bapa (mangsa) tidak dapat menjaga anak mereka dan kami diberi tiga tahun untuk menjaga mereka. Sebahagiannya masih menunggu, namun enam kanak-kanak telah dihantar kepada individu yang telah diputuskan oleh mahkamah," katanya.

Tambah beliau, antara punca permasalahan itu adalah kerana segelintir ibu bapa tidak mempunyai kapasiti untuk menjaga anak-anak mereka, selain ada yang berubah fikiran setelah dihubungi oleh JKM untuk menuntut anak mereka.

Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya kekal komited untuk melindungi kepentingan kanak-kanak terbabit dan tindakan susulan akan bergantung kepada perintah mahkamah dari semasa ke semasa.

Nancy berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Bakul Makanan Tahun Baharu Cina kepada golongan asnaf di daerah Lundu bersempena Program Jelajah Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Tanah Hitam di sini hari ini.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA