fb fb fb fb fb

Kes denggi di Selangor meningkat

PUTRAJAYA, 31 Mei - Kes demam denggi di Selangor meningkat dengan merekodkan sebanyak 270 kes sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya 920 kes bermula 15 hingga 21 Mei, iaitu pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-20.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada ME ke-19 iaitu bermula 8 hingga 14 Mei, kes demam denggi yang dicatatkan di negeri itu adalah sebanyak 650 kes.

Ini menjadikan kumulatif kes demam denggi dilaporkan dalam negara sehingga kini adalah 16,145 kes telah meningkat sebanyak 52.4 peratus bagi tempoh sama 2021 iaitu 10,597 kes.

“Sembilan kematian akibat komplikasi denggi turut dilaporkan setakat ini berbanding lima kematian bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, pada ME ke-20, Dr Noor Hisham berkata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 121 kes, diikuti Sabah (119), Johor (82) dan Kedah (43).

Menurutnya, sebanyak 41 lokaliti titik panas turut dilaporkan pada ME ke-20 dengan 36 lokaliti di Selangor, tiga di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan masing-masing satu lokaliti di Melaka serta Sabah.

"Dalam keadaan penularan jangkitan demam denggi yang tinggi ketika ini, setiap lapisan masyarakat perlu bertindak proaktif dengan memastikan persekitaran premis kediaman dan tempat kerja bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Pihak berwajib dalam komuniti juga melakukan aktiviti cari dan musnah pembiakan nyamuk Aedes selain menggunakan kaedah pencegahan seperti pencegah dan semburan aerosol dalam premis untuk membunuh nyamuk dewasa,” katanya. 

Media Baharu