fb fb fb fb fb

Kes denggi di Kelantan meningkat

Foto hiasan

BACHOK, 27 Mei- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) merekodkan sebanyak 873 kes denggi bagi lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 662 kes.
 
Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 31.9 peratus bagi tempoh Januari hingga 15 Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Tahun ini, satu kematian direkodkan akibat komplikasi demam denggi membabitkan seorang lelaki dewasa di Gua Musang.
 
Pihaknya turut menjangkakan kes denggi di negeri itu akan meningkat berikutan pergerakan orang ramai semasa cuti persekolahan dan juga ketika perayaan Aidiladha akan datang.
 
"Jadi sebab itulah kita memerlukan masyarakat untuk mengambil cakna perkara ini kerana biasanya pembiakan nyamuk aedes berlaku dalam kawasan rumah.

"Pembiakan ini boleh icegah dengan memeriksa kawasan-kawasan yang berpotensi untuk pembiakan. Sekiranya ia dapat dihapuskan, tidak berlaku pembiakan.

"Sekiranya mereka mempunyai tanda-tanda penyakit denggi seperti demam sakit-sakit sendi, sakit mata dan sebagainya, segera dapatkan rawatan sama ada di klinik kerajaan ataupun swasta," katanya dalam sidang media di Program Penanaman Pokok Bakau di Pantai Melawi Bachok di sini.
 
Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Radicare (M) Sdn Bhd itu sebanyak 1,000 anak pokok bakau ditanam sebagai pemangkin kepada usaha pemuliharaan kawasan litupan hijau dan hutan untuk menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara.
 
Antara kawasan yang merekodkan jumlah tertinggi kes berkenaan adalah membabitkan daerah Kota Bharu dan Tumpat.
 
Bagimanapun Pejabat Kesihatan Daerah sentiasa mengadakan aktiviti kawalan dan pencegahan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti termasuk melakukan pemeriksaan premis, semburan kabus (fogging) dan penghapusan tempat pembiakan selain pendidikan kesihatan kepada orang awam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI