fb fb fb fb fb

Kerusi Parlimen: 'Hanya Speaker berhak buat keputusan'

Tan Sri Johari Abdul

IPOH, 21 Jun- Status kerusi enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama ada kekal atau perlu dikosongkan hanya layak diisytiharkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Itu penjelasan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor berhubung notis pemakluman kekosongan kerusi yang dihantar Bersatu semalam.

"Tindakan pertama adalah perlu parti berkenaan memajukan (hantar) pemakluman kepada Speaker Dewan Rakyat... berpandukan Perlembagaan dan undang-undang sedia ada... (speaker) akan memutuskan sama ada kerusi itu kosong atau tidak.

"Apa yang kita dah tahu sekarang ini, surat daripada pihak Bersatu telah sampai kepada Speaker. Sama ada (kekosongan kerusi) berlaku atau tidak ia akan diputuskan oleh Speaker.

"Yang ada kuasa memutuskannya adalah Speaker Dewan yang berkenaan. Di Kelantan, Speaker Dewan Undangan Negeri yang berkenaan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Batin dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli peringkat Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah Tahun 2024 di Dewan Utama Institut Tadbiran Islam Perak di sini.

Terdahulu, Bersatu menerusi satu kenyataan memberitahu notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam ahli Parlimen mereka telah diserahkan dan diterima pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Ia susulan keenam-enam mereka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam wakil rakyat Bersatu itu adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

2106 PRK KUASA SPEAKER 2
Ramli Mohd Nor (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Paling Aktif sempena Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Batin dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli peringkat Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah Tahun 2024 di Dewan Utama Institut Tadbiran Islam Perak di sini semalam

SITI AISHAH MD ISA