fb fb fb fb fb

Kertas siasatan Zayn Rayyan: MCMC akan bekerjasama dengan PDRM

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

JOHOR BAHRU, 14 Jun - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan berhubung dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebelum mengambil tindakan keatas kumpulan telegram 'edisi siasat' yang didakwa memuat naik kertas siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, pada 6 Disember lepas.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, ia bagi mengenal pasti kesahihan maklumat yang dimuat naik itu dan pihak bertanggungjawab juga perlu memberikan penjelasan sekiranya maklumat itu benar.

"Saya akan minta pihak MCMC berhubung dengan PDRM sekiranya ada tindakan yang perlu diambil...kita tidak tahu sama ada maklumat itu betul atau tidak..sekiranya benar, perlu ada pihak memberikan penjelasan dan jika tidak benar mereka tersebut perlu diambil tindakan," Fahmi mengulas perkara itu dalam Program Sembang Santai Bersama Komunti Madani Parlimen Pulai, di sini.

Sehingga kini MCMC masih belum menerima sebarang aduan berhubung penyebaran kertas siasatan berkenaan.

Selain itu, Fahmi turut menyeru orang ramai untuk memberi ruang kepada mahkamah menjalankan proses pengadilan bagi kes tersebut.

"Kita akan bagi penegasan sekali lagi kepada orang ramai, jangan mendahului proses, perkara ini telah masuk ke mahkamah, biar mahkamah putuskan, dan pihak PDRM juga telah berkata, telah keluarkan kenyataan, bahawa siasatan dalam kes kematian Zayn Rayyan, diteruskan dia tidak tutup,"katanya.

Semalam, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, iaitu ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya Disember tahun lepas.

Mahkamah kemudiannya memutuskan masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan kes.

TETITIA YUSOFF