fb fb fb fb fb

Kertas putih perolehan vaksin COVID-19 teliti tatacara perolehan- Dr Zaliha

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 10 Februari- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menubuhkan pasukan kerja bagi merangka Kertas Putih susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Januari 2023 untuk memberi gambaran secara komprehensif mengenai pengurusan perolehan vaksin COVID-19.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan memaklumkan Kertas Putih tersebut akan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan adalah telus demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

"Ini berikutan penemuan awal oleh pihak Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjalankan 'due diligence' secara terperinci khususnya terhadap terma-terma perjanjian bekalan vaksin COVID-19 yang telah ditandatangani serta dibuat semasa tempoh darurat.

"Sehubungan dengan itu, bertepatan dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri juga, KKM akan memastikan sebarang urusan perolehan termasuk perolehan vaksin COVID-19 di bawah kementerian ini dilaksanakan dengan lebih teliti, berintegriti serta memastikan ia mempunyai manfaat timbal-balik kepada Kerajaan,"katanya menerusi kenyataan tersebut.

Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembelian vaksin COVID-19 akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang kerana didapati tidak mengikut prosedur serta dilakukan tanpa melalui persetujuan Peguam Negara (AG).

Anwar dilaporkan berkata Kertas Putih berkenaan akan dibentangkan kerana pada peringkat awal dikesan terdapat ketirisan kerana dipercayai tidak melalui peraturan atau proses yang sepatutnya serta perolehan bagi sesetengah vaksin itu amat diragui dari segi jumlah dan kos yang terlibat.


(Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa)

Media Baharu