KUALA LUMPUR, 17 November- Kertas konsep GOVTECH akan dibentangkan di mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dijadual berlangsung pada Disember.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata kertas konsep itu akan menggariskan inisiatif strategik dalam usaha memperkasa transfromasi digital di Malaysia khususnya sektor awam.
"Sekarang kita sedang memperhalusi kertas konsep pertama GOVTECH yang akan membina peta laluan (road map) ke arah GOVTECH dalam kerajaan.
Kertas ini akan menggariskan inisiatif strategik dan penyelesaian teknologi inovatif yang akan dilaksana melalui GOVTECH untuk meningkatkan perkhidmatan sektor awam," kata Rafizi kepada pemberita dalam satu sidang media di ibu negara.
GOVTECH bakal menyaksikan integrasi operasi kerajaan ke dalam satu platform digital setempat, menjanjikan pengalaman pengguna yang lebih baik.
Sementara itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 3.3% pada suku tahun ketiga 2023 adalah selari situasi semasa domestik dan global.
Tambah Rafizi, selain terus dipacu permintaan domestik, ketelusan dalam pelaksanaan projek pembangunan mengikut jadual turut menjadi faktor pemangkin pertumbuhan ekonomi.
"Saya harap kita mampu berkembang lebih baik pada suku keempat dan tahun depan ialah memastikan pelaksanaan projek lebih efisyen.
Apa juga peruntukan yang telah diluluskan perlu dilaksana segera mengikut tempoh dan kos ditetapkan dan itu akan membantu kita untuk mengawal perbelanjaan yang pastinya menyokong pertumbuhan," ujar Rafizi kepada pemberita selepas sesi lawatan ke Asia School of Business mengunjungi kumpulan pertama Program Executive Digital Leadership, hari ini.
Beliau merujuk kepada pelaksanaan beberapa rangka kerja pembangunan sektoral antaranya Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kajian Separuh Penggal RMK-12.