
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Kerjasama Malaysia- Amerika Syarikat dalam bidang teknologi pertanian ketika ini masih terhad dan hanya tertumpu kepada kerjasama antara agensi bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
- MARDI menjalin kerjasama dua hala dengan USDA termasuk program pembangunan kapasiti dan penempatan penyelidik di Amerika Syarikat untuk pemindahan teknologi.
- Kerjasama dijalankan juga melalui platform multilateral seperti APEC High Level Policy Dialogue dan MARDI bersama USDA menganjurkan bengkel bioteknologi 2020.
- Pada 2023 dilaksanakan dua projek menumpu kerjasama regulatori, inovasi, mitigasi perubahan iklim dan perdagangan produk bioteknologi pertanian.
Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin memaklumkan, kerjasama itu melibatkan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), yang mempunyai kerjasama dua hala dengan United States Department of Agriculture (USDA).
Pelaksanaan turut meliputi program pembangunan kapasiti tajaan USDA yang melibatkan penempatan pegawai penyelidik MARDI di Amerika Syarikat, bagi tujuan pemindahan teknologi, peningkatan kompetensi saintifik dan pengukuhan jaringan penyelidikan antarabangsa.
“Kerjasama turut dilaksanakan melalui platform pelbagai hala seperti Asia Pacific Economic Cooperation(APEC), khususnya di bawah High Level Policy Dialogue on Agricultural Biotechnology.
“Dalam hal ini, MARDI telah bertindak sebagai penganjur bersama dengan United States Department of Agriculture bagi penganjuran bengkel bioteknologi pertanian pada tahun 2020,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukan Senator Musoddak Ahmad di Dewan
Negara.
Kerjasama tersebut diteruskan dengan pelaksanaan dua projek pada tahun 2023 yang memberi tumpuan kepada aspek kerjasama regulatori, inovasi, mitigasi perubahan iklim serta perdagangan produk bioteknologi pertanian.