fb fb fb fb fb

Kerjasama strategik MITI, bangun tenaga kerja mahir EV

V. Sivakumar

KUALA LUMPUR, 7 Disember- Usaha memacu pembangunan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri kenderaan elektrik (EV) sentiasa digerakkan dengan mengadakan kerjasama strategik bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).

Antara yang dilaksana termasuk melantik Malaysia Automotive Robotics and IOT Institute' (MARii) iaitu sebuah agensi bawah MITI, sebagai Badan Peneraju Industri (ILB); melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Menurut Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar, perkara itu bagi memberi fokus kepada pembangunan bakat dalam bidang automotif serta menyokong perkembangan pesat industri EV di negara ini.

"JPK dan MARii bekerjasama membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), berkaitan EV seperti berikut; diagnostik dan pembaikan kenderaan elektrik bateri (BEV); Pemasangan dan penyelenggaraan stesen pengecas kenderaan elektrik dan ketiga program servis kenderaan elektrik dan hibrid," katanya ketika menjawab soalan daripada Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong berkenaan kesediaan MITI dalam memastikan prospek pelaburan automotif dari luar negara.

Dalam pada itu, sebagai usaha menyediakan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan industri EV, beberapa institusi latihan juga mula menawarkan kursus-kursus berkaitan teknologi berkenaan.

Tidak terkecuali, institusi latihan yang sedang menawarkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), turut sama memfokuskan kepada teknologi itu.

Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menyasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus daripada tenaga pengajar di Institut Latihan JTM mempunyai kemahiran dan kompeten dalam teknologi baharu.

"Pada tahun 2023, Jabatan Tenaga Manusia menjalin kerjasama dengan pihak industri seperti Autotronic Centre of Excellent Sdn.Bhd. untuk menawarkan kursus-kursus berkaitan EV.

"Sembilan buah institusi latihan JTM iaitu Institut Latihan Perindustrian Jitra, Institut Latihan Perindustrian Marang, Institut Latihan Perindustrian Pasir Gudang, Institut Latihan Perindustrian Kota Samarahan, Institut Latihan Perindustrian Miri, Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu, Institut Latihan Perindustrian Prai, Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka," katanya di Dewan Negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI